Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Derma

SUMBANGAN DERMA PARTI KEADILAN RAKYAT PAHANG
Bank: Hong Leong Islamic Bank
Account: 1120 100 7698

TUJUAN DAN MATLAMAT PERJUANGAN PARTI KEADILAN RAKYAT

Tujuan dan matlamat perjuangan Parti Keadilan Rakyat telah termaktub di dalam Fasal 5 Perlembagaan parti. Meneliti satu persatu kesemua tujuh belas perkara ini, maka terserlah sebuah objektif perjuangan yang amat besar; mencakupi seluruh keperluan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia. Perlaksanaannya nanti, andaikata Parti Keadilan Rakyat diberi peluang mentadbir kerajaan pusat, akan mampu membawa seluruh rakyat dan negara ke arah kesejahteraan, keadilan sosial, pengembangan ekonomi yang mapan dan agihan kekayaan negara yang saksama. Berikut adalah tujuh belas tujuan dan matlamat perjuangan Parti Keadilan Rakyat:

1. Mewujudkan masyarakat adil dan negara demokratik yang progresif serta bersatu.

2. Menghormati sistem Raja Berperlembagaan, memperkukuh Demokrasi Berparlimen dan mendukung hak serta kuasa rakyat, dan berusaha untuk memantapkan sistem politik negara yang sesuai dengan kehendak serta kepentingan rakyat.

3. Menegakkan kedaulatan undang-undang yang adil, media massa serta kehakiman yang bebas, dan pasukan keselamatan yang mendukung prinsip-prinsip profesionalme.

4. Menjamin kebebasan berfikir, bersuara, bergerak, berhimpun dan berpersatuan kepada semua.

5. Menghayati Islam sebagai agama Persekutuan sambil memastikan bahawa hak masyarakat bukan Islam mengamalkan agama atau kepercayaan masing-masing terus terjamin dan menggalakkan peranan agama serta nilai-nilai sejagat untuk menegakkan kebenaran, ketinggian akhlak, pembangunan insan dan martabat manusia.

6. Mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, di samping menjamin hak rakyat menggunakan, mempelajari dan mendapat pendidikan dalam bahasa-bahasa lain; dan menggalakkan perkembangan kebudayaan serta kesenian Malaysia, berasaskan unsur-unsur unggul daripada semua warisan peradaban yang wujud di negara ini.

7. Mengukuhkan sistem pemerintahan Persekutuan yang adil, bertanggungjawab serta demokratik dalam mengimbangi kepentingan negeri-negeri dengan kekuasaan kerajaan pusat.

8. Mempertingkatkan kemuliaan insan, nilai keehsanan serta budaya ikram, menegakkan hak
asasi manusia, dan berpegang teguh kepada prinsip integriti dan akauntabiliti dalam bidang ekonomi politik dan pentadbiran.

9. Melaksanakan ekonomi yang adil serta dinamik, yang mengutamakan pertumbuhan serta pengagihan yang adil, dan bebas daripada penindasan, kecurangan serta pembaziran, di samping mengatasi kemiskinan dan mencegah penumpuan kekayaan.

10. Berasaskan prinsip keadilan, mempastikan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak digunakan khusus untuk menaikkan taraf sosio-ekonomi mereka yang miskin dan terbiar, serta pembelaan yang adil bagi golongan bukan Melayu dan bukan Bumiputera yang miskin dan terbiar, demi mencapai kesaksamaan untuk perpaduan nasional.

11. Menyediakan kemudahan pendidikan, kesihatan, perumahan, pengangkutan awam yang bermutu dengan bayaran yang berpatutan sebagai tanggungjawab sosial pemerintah, terutama sekali bagi golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana.

12. Memperjuangkan serta menjamin hak bekerja, upahan yang adil, keselamatan di tempat kerja dan mutu kehidupan yang baik untuk setiap orang.

13. Mempertingkatkan martabat dan peranan wanita dalam kehidupan masyarakat, menjaga hak serta kepentingan mereka dan memastikan mereka mencapai taraf yang saksama serta tidak menjadi mangsa diskriminasi dan eksploitasi.

14. Memperjuangkan hak dan pengembangan potensi belia dan remaja serta menjamin peranan yang bermakna bagi mereka dalam semua bidang kehidupan.

15. Meningkatkan mutu hidup orang Asal di samping menghormati Adat mereka, menyediakan rancangan pembangunan yang sesuai setelah berunding dengan mereka, dan melindungi hak mereka ke atas Tanah Adat.

16. Melindungi alam semula jadi daripada pemusnahan; mencegah perosakan serta meningkatkan mutu alam sekitar dan memastikan pembangunan yang mapan.

17. Menegakkan sistem antarabangsa baru yang adil serta demokratik, melaksanakan dasar luar yang bebas serta beretika, menyediakan persekitaran yang sesuai untuk melahirkan masyarakat berilmu yang dapat menghadapi cabaran globalisasi yang mengancam kepentingan negara, rakyat dan manusia sejagat dan seterusnya melindungi ekonomi, politik serta keselamatan negara daripada kuasa-kuasa besar dunia.

(Dipetik dari Perlembagaan Parti Keadilan Rakyat Malaysia)

0 comments: