Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Derma

SUMBANGAN DERMA PARTI KEADILAN RAKYAT PAHANG
Bank: Hong Leong Islamic Bank
Account: 1120 100 7698

PKR AKAN BERKUBUR MENJELANG PRU KE 13???

Utusan Malaysia menjangkakan PKR akan berkubur menjelang PRU ke 13. Benarkah? Dulu Mahathir kata PKR (sebelum itu PKN) akan berkubur menjelang PRU 11. Kubur. Kubur. Kubur....Mahathir...Utusan Malaysia...kan sekapal tu...Kubur PKR sudah digali pada PRU 11. Betul PKR tinggal 1 kerusi Kak Wan di Permatang Pauh. Malah dengan majoriti yang sangat sedikit. Juak-juak UMNO bertepuk tangan. Melompat-lompat macam kera kena belacan. Balaci-balaci dan barua-barua mereka termasuk Utusan Melayu memukul canang PKR akan mati. Yang tinggal hanya sisa-sisa. Satu kerusi. MP perempuan pulak tu. Mereka terkinja siang dan malam untuk menekan Kak Wan. Mencabar kewanitaannya. Mempertikai sifat keibuannya. Dengan harapan semangat Kak Wan akan luntur. Imannya perlu digoyahkan. PKR akan mati. Dikuburkan.


Namun siapa sangka. Tangan yang menghayun buai itu bisa mengegar dunia. Kak Wan bukan isteri Mahathir. Bukan isteri Pak Lah. Jauh sekali isteri Najib. Juak-juak UMNO yang lain? Jangan harap. Kak Wan bersuamikan Anwar! ANWAR IBRAHIM!!! Insan yang dianugerahkan oleh Allah SWT untuk menjadi pejuang membela rakyat negara Malaysia. Insan yang rela dirinya terbakar demi menerangi orang lain. Insan yang teguh imannya. Insan yang gagah semangatnya. Insan yang mampu memimpin massa. Insan yang tegar melakukan perubahan. Pun begitu. Di hadapan kedua mereka ada insan yang lebih hebat. Berdiri teguh mempertahankan kebenaran dan keadilan. Tegar menghadapi cabaran. Hebat!!! Siapa dia? RAKYAT!!!


Dalam beberapa penulisan saya sebelum ini saya dengan tegas menyatakan PKR ditubuhkan di atas aspirasi rakyat terbanyak. Keringat, airmata dan darah rakyat yang mewujudkan PKR. PKR bukan hak pemimpinnya. PKR adalah khazanah yang sangat berharga kepada seluruh rakyat. Bergerak pantas di persada politik tanahair. Dokongan rakyat mengangkat PKR dari sebuah parti yang dilihat akan tersungkur pada 2004 kepada sebuah parti yang sangat menonjol pada 2008.


Kewujudan PKR bukan bergantung kepada Kerusi Parlimen mahupun DUN tetapi atas sokongan ahli-ahli dan atas kesahihan pendaftaran dengan Pendaftar Pertubuhan. Tetapi ditinggalkan begitu sahaja. Rakyat membawa cangkul dan penyodok bergotong-royong menimbuskan kubur itu. Tanahnya disiram sehingga menumbuhkan pokok-pokok yang segar dan menjadi semakin dewasa. Oleh itu keluarnya beberapa orang Ahli Parlimen baru-baru ini tidak menjadi "kudis gatal" kepada PKR malah semakin mendapat sokongan dan dokongan yang padu dari rakyat Malaysia. Rakyat semakin melihat kebejatan UMNO terutama apabila Ahli-Ahli Parlimen tersebut mula menunjukkan belang masing-masing dalam persidangan Parlimen yang sedang berlangsung. Pada mulanya mereka mendakwa keluar parti kerana tidak setuju dengan kepimpinan parti dan PKR telah jauh menyimpang dari matlamat asal penubuhannya.
Namun gelagat mereka mutakhir ini memberi gambaran sebenar kepada rakyat siapa mereka sebenarnya dan siapa yang berada di belakang mereka. Penafian terbuka Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghafur terhadap dakwaan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Zahrin berkenaan "projek 16 September" yang kononnya diusahakan oleh Ketua Umum PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim memberi tamparan yang cukup dahsyat kepada beliau. Ahli Parlimen Kalabakan itu secara terang mengatakan Ahli Parlimen Bayan Baru sebagai penipu besar. Pertelingkahan ini amat memalukan. Dalang yang mencetuskan polemik ini seharusnya berasa malu dengan apa yang berlaku kerana tidak seperti yang mereka jangkakan. Mereka berbalah sesama sendiri. Itulah sebenarnya yang disebutkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran "mereka merancang, Allah juga merancang, perancangan Allah adalah yang lebih baik".
Bagi mereka yang berhajat menguburkan PKR atau yang berniat mahu melihat PKR berkubur harus berpijak di bumi nyata. PKR adalah kehendak rakyat dan ditubuhkan oleh rakyat. Selagi PKR disokong dan didokong oleh rakyat tiada siapa yang akan dapat menggugatnya. Suara rakyat suara keramat!!! Sesiapa yang mengkhianati PKR bermakna mengkhianati hak dan suara rakyat. PKR memperjuangkan hak dan suara seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama dan status. Mengangkat ketuanan rakyat adalah perjuangan kudus PKR.
TANGAN YANG MENGHAYUN BUAI ITU BISA MENGGEGAR DUNIA....

PENGERTIAN KEMERDEKAAN: SEDARLAH TEMAN...

Selamat sejahtera.


Sedar atau tidak sudah lebih 52 tahun Malaysia merdeka secara fizikal dari penjajahan asing. Tanggal 31 Ogos 2010 umur kemerdekaan negara kita mencecah angka 53 tahun. Itu bermakna sudah melangkau separuh abad. Umur yang boleh dikira sudah matang dan cukup dewasa untuk bersaing di persada dunia. Soalnya apakah kita sudah betul-betul dewasa? Saban tahun negara menyambut hari ulang tahun kemerdekaan. Lagu Allahyarham Sudirman Haji Arshad akan berkumandang diputarkan. Pesta dan keramaian dianjurkan di sana sini. Persembahan nyanyian oleh artis-artis tanahair malah ada juga dari luar diadakan di seluruh pelusuk negara. Malah ada juga majlis sambutan diadakan dengan pesta liar sebagai tanda kegembiraan yang amat sangat. Apakah itu pengertian kemerdekaan negara? Pernah suatu ketika seorang pemimpin negara memberi pendapat "pengertian kemerdekaan adalah setiap orang mengibarkan bendera Jalur Gemilang di premis masing-masing seperti rumah kediaman, kedai-kedai, bangunan-bangunan dan di seluruh tempat dalam negara".


Jika itulah pengertian kemerdekaan yang difahami oleh kita maka tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa kita hanya mengerti konsep kemerdekaan secara zahir tanpa mengetahui maksudnya yang sebenar. Saban tahun rakyat disogok dengan pesta-pesta sambutan. Naluri manusia yang suka berhibur telah dimanipulasi dengan sebaiknya oleh pemerintah. Tindakan mereka telah dapat melalaikan rakyat dari menggali maksud sebenar kemerdekaan negara. Lebih 50 tahun rakyat diberi "candu" yang amat mengkhayalkan sehingga mereka lupa untuk menghayati dan memenuhi ruang lingkup kemerdekaan dengan pengisian yang penuh bererti. Semangat kemerdekaan yang sebenar hilang apabila rakyat mula "mabuk" dengan "candu" yang disajikan. Kalau ada pun hanya segelintir yang sedar tentang peri pentingnya mengisi kemerdekaan negara dengan elemen-elemen yang betul dan tepat. Terdapat juga beberapa pihak yang mengadakan pelbagai majlis mengisi sambutan hari kemerdekaan dengan menghayati pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu. Namun majlis tinggal majlis, program hanya sekadar program; semuanya hilang bersama perginya tarikh sambutan; cuma bergema lagi pada sambutan tahun berikutnya. Begitulah saban tahun..!!!Rakyat kembali kepada penghidupan asal.



yang kaya semakin kaya.

yang miskin semakin terhimpit.

khazanah negara semakin menipis

rakyat terbanyak kian merintis.

Negaraku merdeka!!!

Merdeka!!!

Merdeka!!!

Merdeka!!!

Kibarkan Jalur Gemilang!!!



anak Iban...anak Penan...

anak Melayu...anak India...

anak Cina...anak Jakun...

anak Jahud...anak Semelai...

anak Siam...

anak-anak bangsa Malaysiaku...

di mana ibu mu...di mana bapamu...

untuk mengajarmu

erti kemerdekaan



nah...kutitipkan kepadamu

wahai bangsa Malaysiaku...



merdekakan bangsa Malaysiaku dari belenggu kemiskinan!!!

merdekakan bangsa Malaysiaku dari bebanan kehidupan!!!

merdekakan bangsa Malaysiaku dari kenaikan harga barangan!!!

merdekakan negara Malaysiaku dari rasuah dan penyelewengan!!!

Merdekakan hakim, kehakiman dan perundangan dari jadi kuda tunggangan!!!

Merdekakan polis, tentera dan sprm dari menjadi barang permainan!!!

MERDEKAKAN NEGARA MALAYSIAKU DARI PENJAJAHAN BARISAN!!!

MARTABATKAN NEGARA MALAYSIAKU DENGAN PENTADBIRAN PAKATAN!!!



ayuh bangsa Malaysiaku

ayuh bangkitlah

suarakan pengertian kemerdekaan

isikan dadamu dengan ilmu pengetahuan

tentang maksud sebenar kemerdekaan




sekian jumpa lagi...

aku anak merdeka





"HANYA JAUHARI YANG MENGENAL MAKNIKAM"

"Hanya jauhari yang mengenal maknikam". Pepatah Melayu garapan nenek moyang ratusan tahun dahulu meninggalkan makna yang cukup mendalam. Pengertiannya penuh dengan maksud yang tersirat.
Kebelakangan ini media massa arus perdana hampir saban hari membuat serangan ke atas Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat (PR). Yang paling terkesan ialah PKR dan Ketua Umumnya, Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Saya melihat serangan ini tidak lebih daripada serangan politik bertujuan untuk melumpuhkan PKR. Sebelum kembalinya DSAI ke arena politik tanahair selepas bebas dari penjara, sejarah mencatatkan Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) tidak dapat bersatu dan bekerjasama untuk menentang UMNO/BN. Dakyah sama ada secara nyata dan halus yang dimainkan oleh UMNO/BN sangat berkesan menyerap ke segenap lapisan masyarakat termasuk di kalangan penyokong parti pembangkang waktu itu.
Walau bagaimanapun sekembalinya DSAI ke kancah politik, beliau telah berusaha tanpa jemu untuk menyatukan PAS dan DAP di bawah satu bumbung bersama dengan PKR. Hasil usaha beliau ternyata mencapai kejayaan yang besar apabila ketiga-tiga parti tersebut bersatu di bawah PR. PRU12 pada 8 Mac 2008 menyaksikan PR berjaya memenangi 6 negeri termasuk Wilayah Persekutuan sebelum tinggal 5 negeri apabila Perak dirampas tanpa etika oleh BN.
Ganggu gugat ini semakin menjadi-jadi sehingga menyebabkan 3 orang Ahli Parlimen PKR bertindak keluar parti menjadi wakil rakyat bebas (agaknya mereka bermain wayang dan menunggu "durian runtuh" sebelum menyertai UMNO), manakala seorang lagi dipecat kerana melanggar disiplin parti (menyerang rakan PR secara terbuka). Gembar gembur dibuat oleh mereka ini kononnya ada lagi Ahli Parlimen PKR akan turut menjejaki mereka untuk keluar parti sehingga mencecah 10 orang. Kenapa 10 orang?
Apabila dikaji dengan penuh teliti angka 10 tersebut maka jawapannya ialah angka tersebut akan memberikan jumlah majoriti 2/3 kepada BN sekiranya mendapat sokongan dari Ahli Parlimen yang keluar dari PR. Ini secara langsungnya akan memberikan kelebihan kepada UMNO/BN untuk membuat beberapa pindaan dasar di Parlimen. Apa yang dijangkakan ialah usaha UMNO/BN untuk mengubah persempadanan semula kawasan pilihanraya sepertimana yang mereka lakukan sebelum Pilihanraya Umum ke 11 pada tahun 2004 yang memberi kemenangan besar kepada mereka. Satu lagi hasrat UMNO/BN ialah menggubal dan melaksanakan akta GST (cukai barangan dan perkhidmatan) yang akan memberikan pendapatan tambahan yang besar kepada kerajaan yang mereka terajui dengan cara membebankan rakyat. Tidak sukar kepada kita membuat telahan bahawa Ahli Parlimen bebas akan memberi sokongan kepada BN lebih-lebih lagi jika ada tawaran "durian runtuh". Soalnya kenapa mereka bertindak keluar dari PKR/PR? Adakah kerana prinsip perjuangan? Atau kepentingan peribadi? Atau mungkin juga seperti yang mereka perkatakan bahawa sudah hilang kepercayaan kepada kepimpinan parti? Jawapan yang paling tepat ialah hanya Allah SWT dan diri mereka sahaja yang tahu.
Namun begitu "sudah terang lagi bersuluh". Hilang kepercayaan yang macam mana? Setiap helah yang diutarakan oleh mereka nampaknya serupa dan telah di"skrip"kan. Malah ada yang dilihat terketar-ketar membaca teks ucapan seolah-seolah ketakutan, keliru dan tidak faham apa yang mereka ungkapkan. Itu sebenarnya adalah gelagat semulajadi manusia yang cuba "berlakon" sedangkan mereka bukanlah pelakon handalan. Bukan menghafal skrip malah membaca skrip yang terhidang di hadapan mata pun kelihatannya gugup dan tergagap-gagap. Nampak sangat mereka sendiri terkena "badi" lakonan yang tidak mendapat latihan mencukupi. Ingatlah, Allah SWT itu Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui ke atas segala sesuatu. Kita boleh menipu orang lain termasuk ibubapa tetapi kita tidak boleh menipu Allah SWT dan diri kita sendiri.
Apakah dengan keluarnya beberapa orang Ahli Parlimen ini mampu menggugat dan melemahkan PKR? Pada hemat saya setelah meneliti kepada jumlah pendaftaran kemasukan ahli baru parti dan sambutan kepada beberapa program yang dianjurkan, tidak keterlaluan untuk dinyatakan bahawa PKR semakin mendapat tempat dan sokongan di kalangan rakyat. Prinsip perjuangan yang jelas, matlamat membebaskan negara dari rasuah, menentang penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa, membela rakyat dari penindasan dan kezaliman, objektif untuk menyelamatkan khazanah negara dari dirompak oleh pemimpin yang rakus dan menghapuskan amalan kronisma dan nepotisma adalah pemangkin kepada iltizam PKR dan rakan-rakan PR. Semua ini adalah teras kepercayaan rakyat sebenarnya yang menjadikan PKR semakin kukuh dan teguh menongkah arus.
Media ciptaan UMNO/BN dan penulis upahan mereka menjangkakan PKR sudah sampai ke penghujung umurnya dan jelasnya akan berkubur. Itu kata mereka. Sayugia diingatkan PKR bukanlah sebuah parti yang diwujudkan oleh segelintir orang yang ada kepentingan peribadi. PKR adalah parti yang lahir dari aspirasi rakyat keseluruhannya yang bangkit memperjuangkan keadilan, kesaksamaan dan kebahagiaan di bumi Malaysia tercinta. Mereka bangkit menentang ketidakadilan sosial, ekonomi dan politik yang menekan kehidupan rakyat. Pendek kata PKR ditubuhkan dan berdiri teguh hasil dari keringat, airmata dan darah rakyat!!! Atas prinsip inilah saya berani berhujah bahawa PKR tidak akan mampu digugat oleh UMNO/BN dengan apa cara sekalipun, walaupun mereka menggunakan kekerasan, fitnah, material dan pelbagai kaedah yang lain.
Oleh itu amat sukar untuk diterima akal yang sempurna sekiranya kepergian Ahli-Ahli Parlimen ini dari PKR adalah atas prinsip perjuangan yang betul melainkan "ada udang di sebalik batu". Pun begitu apakah pemergian mereka ini tiada kaitan dengan gerakan licik UMNO? Mana-mana akal yang sempurna pun akan berfikir banyak kali. Tiada kaitan dengan UMNO? Gelihati memikirkannya. Tidak mengapa, saya tinggalkan untuk kalian semua memberikan jawapan masing-masing...
..."hanya jauhari yang mengenal maknikam"...
Sekian untuk kali ini...
...jumpa lagi.

DAFTAR PEMILIH BARU MERAGUKAN:SPR PERLU BERTANGGUNGJAWAB

Semakan terbaru Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Ketiga Tambahan 2009 (1 Julai hingga 30 September) yang dikeluarkan oleh SPR dilihat mempunyai banyak keraguan. Kebanyakkan daripada pemilih baru yang didaftarkan mempunyai kad pengenalan kod 02 dan 71 sedangkan bagi rakyat yang lahir di Negeri Pahang mempunyai kod 06. Apabila disemak melalui Pejabat Pendaftaran Negara kod 02 adalah mereka yang berasal dari Kedah manakala 71 tidak mempunyai rekod yang jelas mengenai negeri atau negara tempat kelahiran.

Ini amat meragukan sama sekali. Pihak PKR telah menjalankan siasatan dan mendapati bagi kod 02 adalah dari keturunan Myanmar di Kedah dan 71 adalah berketurunan Kemboja. Adalah amat meragukan apabila berlaku terlalu ramai penghijrahan masuk pengundi dari Kedah ke Parlimen Pekan. Oleh itu tidak hairan mengapa terdapat ribuan orang Myanmar dan Kemboja di Kampung Sg Miang, Kampung Sekukuh, Kampung Ketapang, Kampung Pasir Panjang dan Kampung Tanjung Agas.

Sejak beberapa tahun dahulu terutama sebelum Pilihanraya Umum ke 11 pada 2004 sebuah perkampungan Myanmar diwujudkan di Kampung Sg Miang. Mereka diberi rumah, tanah dan ada desas-desus mengatakan mereka juga diberi elaun sara diri tanpa apa-apa pekerjaan. Sekiranya benar ini telah benar-benar mencabar hak-hak penduduk tempatan terutama orang-orang Melayu dan kaum orang asal (asli). Ramai di kalangan penduduk tempatan yang tidak mempunyai tanah dan rumah malah ada yang telah memohon tanah tetapi masih belum mendapat sebarang jawapan. Lebih menyedihkan lagi bagi kaum orang asal yang langsung tidak dianugerahkan tanah bergeran. Ini umpama pepatah "kera di hutan disusukan anak di rumah mati kelaparan".

Perkara ini dilihat mempunyai kaitan rapat dengan keputusan Pilihanraya Umum ke 10 pada tahun 1999 apabila Datuk Seri Najib Razak (sekarang Perdana Menteri) hampir tewas, menang dengan hanya 243 undi majoriti. Oleh yang demikian anggapan penduduk Pekan yang ditemui bahawa terdapat usaha terancang bagi memenangkan Najib dengan majoriti yang besar dalam Pilihanraya Umum ke 12 dan Pilihanraya yang akan datang nampak sangat jelas. Sekiranya benar apa yang didakwa, jelas Najib dan UMNO telah mempergunakan SPR untuk merealisasikan hasrat mereka.

Oleh itu PKR Pahang menggesa SPR Pahang meneliti perkara ini dengan serius dan bertindak segera melakukan penapisan yang ketat terhadap senarai Daftar Pemilih. Kelewatan bertindak akan menyebabkan integriti mereka diragui dan hasrat untuk melihat pilihanraya dijalankan dengan adil dan telus tinggal harapan sahaja sedangkan hakikatnya tidak begitu.

ZAIDI AHMAD

SALAM PERJUANGAN BUAT TEMAN-TEMAN

Hari ini secara rasminya aku mempunyai blog sendiri. Terasa amat kerdil diri ini. aku dilahirkan di sebuah perkampungan di Pekan, Pahang. Waktu persekolahan dahulu langsung tidak kedapatan kemudahan internet. Bukan zaman komputer. Semasa di universiti pun assignment masih tulis tangan. Zaman berubah. Sekarang ini maklumat di hujung jari. menerima dan menghantar. Terasa ketinggalan. Walau sekarang orang dah pakai yang lebih canggih namun adanya blog ini aku terasa amat gembira. Terima kasih Kak Mie...(suarahatisalmie.blogspot.com) yang telah menjadikan angan-angan dan impian aku menjadi nyata. Akan aku jadikan blog ini medan untuk menurunkan pandangan dan idea untuk dikongsi bersama kalian.

Sekarang ini aku sedang menunggu ketibaan Chegu Bard dari KL. Kami sama-sama akan ke Dungun untuk sesi Ceramah Umum malam ini.

Sekian,

Salam Reformasi....